KETUA Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia menyifatkan bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi sebagai ‘permata’ bola sepak Malaysia menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Al-Ahli di Jeddah, malam esok.
Menurut Garcia, Arif Aiman yang kini berusia 24 tahun memiliki bakat luar biasa dan layak untuk mengembangkan karier di pentas Eropah.
Bekas bintang Liverpool itu berkata, Arif Aiman bukan sahaja pantas, malah mempunyai keupayaan satu lawan satu yang tinggi serta naluri jaringan yang tajam.
“Dia pantas, bagus dalam situasi satu lawan satu, kuat dan mampu menjaringkan gol. Dia boleh bermain di Eropah dengan mudah (jika mahu),” katanya.
Sebagai rekod, Arif Aiman sudah pulih sepenuhnya selepas berehat hampir enam bulan susulan kecederaan lutut ketika mewakili skuad Harimau Malaya menentang Nepal pada November lepas.
Dalam masa sama, Garcia turut memuji pencapaian luar biasa JDT yang terus mengukuhkan dominasi dalam Liga Super dengan misi utama selepas ini adalah untuk mencabar di peringkat Asia.
“Bola sepak Malaysia sedang berkembang pesat. Memang masih jauh berbanding Eropah, tetapi kelab seperti Kuala Lumpur, Kuching City dan Selangor sedang menunjukkan peningkatan.
“Kami telah memenangi liga setiap tahun dan kini ke final Piala Malaysia sekali lagi, tetapi cabaran terbesar musim ini adalah ACLE
“Perjalanan pasukan sangat jauh dari Vietnam, Jepun, Malaysia hingga kini ke Arab Saudi dan usaha luar biasa pemain wajar dipuji,” katanya.
JDT sudah beraksi dalam kejohanan peringkat kelab paling berprestij di Asia itu sejak 2019 berdepan cabaran hebat untuk ke separuh akhir memandangkan status Al-Ahli selaku juara bertahan.














