fbpx
Trend curi kabel perkhidmatan tren di bawah Prasarana semakin membimbangkan dengan 14 kes dicatatkan hingga Februari lalu.

Sindiket curi kabel boleh raih RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kegiatan kecurian kabel dalam rangkaian rel bandar semakin membimbangkan apabila bukan sahaja meningkat dari segi jumlah, malah menunjukkan unsur sindiket terancang yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan tetap.

Kes ini bukan sahaja menyebabkan kerugian jutaan ringgit, malah menjejaskan operasi tren dan memberi kesan besar kepada penum­pang terutama pada waktu puncak.

Berdasarkan pemerhatian pihak Prasarana, trend kecurian ini turut menunjukkan perubahan ketara apabila sasaran kini beralih kepada kabel kritikal yang memberi kesan langsung kepada sistem operasi tren.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad! Muhammad Najieb Ahmad Fuad dan Jurufoto Fariz Rusaido bersama Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan (HSSE) Prasarana Malaysia Berhad, Idzqandar Abu Bakar bagi me­ngulas isu tersebut.

KOSMO! AHAD: Bagaimana trend kes kecurian kabel dalam rangkaian Prasarana ketika ini?
IDZQANDAR: Jika kita lihat statistik, pada 2023 kita merekodkan 29 kes, meningkat kepada 42 kes pada 2024 dan melonjak kepada 72 kes pada 2025.
Bagi tahun ini sahaja sehingga Februari, ia mencatat 14 kes. Ini menunjukkan trend yang sangat membimbangkan.
Apa yang lebih kritikal ialah sasaran kini beralih kepada kabel kuasa yang memberi kesan langsung kepada operasi tren.
Sebelum ini, tidak semua kecurian memberi kesan kepada operasi, namun apabila melibatkan kabel kuasa dan sistem penting, gangguan perkhidmatan mula berlaku dengan lebih kerap.

Adakah kegiatan ini dilakukan secara individu atau melibatkan sindiket?
Berdasarkan pemerhatian kami, ini bukan lagi kes individu. Ia jelas melibatkan sindiket.
Ada yang bawa kenderaan, ada yang potong kabel dan ada yang uruskan penjualan. Kita juga dapati individu sama ditangkap berulang kali dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.
Malah, ada kes melibatkan ahli keluarga seperti bapa, anak dan saudara-mara. Ini menunjukkan kegiatan ini sudah menjadi se­perti ‘kerjaya’ bagi mereka.
Dalam sesetengah kes, terdapat juga individu yang hanya bekerja secara sambilan sebagai ‘orang upahan’ untuk melakukan kerja-kerja tertentu dalam sindiket tersebut.

Adakah wujud penglibatan sindiket luar negara?
Setakat ini, kebanyakan kes melibatkan warga tempatan.
Jika ada warga asing, mereka biasanya terlibat sebagai pembantu seperti menjual hasil curi.
Untuk mengendalikan keseluruhan rantaian daripada mencuri hingga menjual memerlukan rangkaian yang kukuh, jadi ia lebih banyak dikendalikan oleh kumpulan tempatan.
Ini kerana keseluruhan proses melibatkan logistik seperti pemotongan, pengangkutan dan pelupusan bahan memerlukan koordinasi yang tersusun.

Bagaimana modus operandi suspek?
Kebanyakan kejadian berlaku pada waktu malam kerana kurang risiko dikesan.
Mereka akan panjat struktur seperti jejambat, guna tangga dan tali sebelum memotong kabel di atas trek. Kabel itu kemudian digulung dan diturunkan ke bawah untuk diambil rakan sejenayah.
Ada juga yang sanggup berkhemah dalam struktur tiang untuk menunggu masa sesuai sebelum bertindak.
Dalam beberapa kes, suspek didapati berada di dalam struktur tersebut selama beberapa hari, lengkap dengan bekalan makanan dan peralatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Selain itu, modus operandi turut berubah apabila mereka kini menggunakan laluan baharu se­perti kawasan berhampiran lebuh raya, papan iklan dan kawasan bertopografi tinggi untuk memasuki kawasan trek.

Apakah kesan kecurian ini terhadap operasi tren?
Kesan paling besar ialah gangguan operasi. Jika kabel kuasa dipotong, tren terutama Transit A­liran Massa (MRT) boleh terhenti. ­Lebih kritikal apabila sistem isyarat terganggu kerana kita tidak dapat mengesan kedudukan tren.
Tren kita beroperasi tanpa pemandu, jadi sistem ini sangat penting.
Jika gagal, kita terpaksa hentikan operasi demi keselamatan bagi mengelakkan risiko pelanggaran.
Dalam keadaan tertentu, ope­rasi terpaksa dikendalikan secara manual yang memerlukan masa dan koordinasi tambahan serta meningkatkan risiko jika tidak dikawal dengan baik.

idzqandar menunjukkan carta berhubung kes kecurian kabel melibatkan perkhidmatan MRT di Menara Prasarana, Kuala Lumpur baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO

Bagaimana pihak Prasarana mengesan kejadian kecurian ini?
Kita mengesan melalui beberapa kaedah. Antaranya pe­nemuan sisa kabel, pemeriksaan sebelum operasi bermula dan rondaan fizikal.
Kadang-kadang, kita hanya menyedari apabila tren tiba-tiba terhenti, kemudian siasatan mendapati kabel telah dipotong.
Selain itu, pemeriksaan rutin pada awal pagi sebelum operasi juga membantu mengesan sebarang kerosakan atau kehilangan kabel lebih awal.

Berapa besar kerugian yang ditanggung akibat kes ini?
Untuk tahun 2025, kerugian mencecah antara RM6.6 juta hingga RM6.8 juta.
Setiap kejadian boleh menyebabkan kerugian sekitar RM90,000 sedangkan nilai jualan kabel oleh suspek boleh mence­cah RM50,000 hingga RM60,000.
Nilai kabel yang dicuri bergantung kepada jenis dan panjang kabel. Sebagai contoh, harga kabel kuasa adalah sekitar RM400 per meter (m). Jika kabel yang dicuri sepanjang 100m, jumlah kecurian bernilai RM40,000. Berbeza pula dengan kabel positif bernilai hampir RM600 per ­meter.
Ini belum termasuk kos penggantian, kos operasi tambahan dan kehilangan hasil akibat gangguan perkhidmatan.
Dalam kes gangguan besar, kos keseluruhan termasuk logistik dan sokongan boleh mence­cah ratusan ribu ringgit bagi satu kejadian.

Mengapa kegiatan ini sukar dibendung?
Salah satu cabaran utama ialah hukuman yang dikenakan tidak setimpal.
Kebanyakan suspek ha­nya didakwa atas kesalahan pencerobohan dengan denda sekitar RM1,000 hingga RM2,000. Ini tidak memberi kesan pencegahan.
Kami mencadangkan supaya kes seperti ini diklasifikasikan sebagai cubaan sabotaj bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil.
Selain itu, kesukaran membuktikan kes sabotaj di mahkamah juga menjadi antara cabaran utama dalam pendakwaan.

Apakah langkah yang telah diambil oleh Prasarana setakat ini?
Kita telah melaksanakan pelbagai langkah seperti pemasangan pagar, lampu, televisyen litar tertutup (CCTV) dan rondaan secara berkala.
Selain itu, kita turut menggunakan unit anjing pengesan (K9), rondaan di atas trek serta teknologi pengesanan.
Kita juga menutup akses ter­tentu pada waktu malam bagi menyukarkan suspek membawa keluar kabel yang dicuri.
Selain itu, rondaan secara sektor turut dilakukan secara tidak berkala bagi mengelakkan suspek mengesan corak pergerakan pasukan keselamatan.

Bagaimana kes ini memberi kesan kepada penumpang?
Gangguan operasi terutama waktu puncak memberi kesan besar kepada penumpang.
Ada kes melibatkan puluhan ribu penumpang terkandas. Kita akan sediakan bas perantara dan bantuan, tetapi kapasiti bas tidak mampu menampung jumlah yang besar dalam masa singkat.
Ini menyebabkan tekanan kepada penum­pang dan juga petugas di lapa­ngan.
Dalam keadaan tertentu, penumpang perlu menunggu lama untuk alternatif pengangkutan kerana kekangan logistik dan kesesakan lalu lintas.

Apakah perancangan jangka panjang untuk menangani isu ini?
Antara perancangan utama ialah mengamankan kabel dalam struktur tertutup serta melin­dungi kabel dengan lapisan khas.
Namun, pelaksanaan ini memerlukan kos tinggi sekitar RM130 juta hingga RM140 juta dan dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.
Dalam tempoh itu, kita perlu terus memperkukuh langkah sedia ada dan sentiasa berada se­langkah di hadapan sindiket.
Selain itu, penggunaan teknologi baharu seperti sistem pengesanan berasaskan gentian optik juga sedang diuji bagi mengesan sebarang cubaan pencerobohan lebih awal.

Bagaimana orang awam boleh membantu?
Orang awam boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak kami atau pun polis.
Maklumat awal amat penting untuk membolehkan tindakan segera diambil.
Namun begitu, kebanyakan kejadian berlaku di lokasi sukar dilihat, justeru kerjasama semua pihak amat diperlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN