TEHRAN – Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Aragchi mengumumkan Selat Hormuz kini ‘dibuka sepenuhnya’ sepanjang tempoh gencatan senjata berlangsung, lapor akhbar Metro.co hari ini
Aragchi berkata, ‘semua kapal komersial’ dibenarkan melalui selat tersebut bagi baki tempoh gencatan senjata yang berlangsung selama 10 hari.
Hantaran penuh beliau di platform X menyebut: “Selaras dengan gencatan senjata di Lubnan, laluan bagi semua kapal komersial di Selat Hormuz diisytiharkan dibuka sepenuhnya untuk baki tempoh gencatan senjata, melalui laluan diselaraskan seperti yang telah diumumkan oleh Organisasi Pelabuhan dan Maritim Republik Islam Iran.”
Presiden Donald Trump kemudian membalas berita tersebut melalui hantaran di laman Truth Social dengan berkata: “Selat Hormuz dibuka sepenuhnya dan sedia untuk perniagaan serta laluan penuh.”
Selat Hormuz merupakan jalur perairan sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dan lautan luas dunia.
Laluan penghantaran minyak dan gas yang sangat penting itu telah ditutup sejak kempen pengeboman Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran bermula akhir Februari lalu.
Penutupan selat itu mengakibatkan kenaikan harga tenaga dan bahan api di seluruh dunia. – AGENSI














