KUANTAN – Kebanyakan racun serangga yang dikesan oleh pihak berkuasa Singapura pada sayur-sayuran yang dibawa masuk ke negara itu boleh memberi kesan kepada sistem saraf manusia yang akhirnya boleh membawa maut.
Pensyarah Kuliah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Muhamad Faris Osman berkata, racun-racun berkenaan amat berbahaya sehinggakan jika terkena sentuhan terus dengan individu, boleh memberi kesan yang bahaya kepada kesihatan manusia.
Bagaimanapun katanya, bagi kesan akibat memakan sayur yang mengandungi racun berkenaan memerlukan satu kajian terperinci termasuk mengenai kandungan sebenar racun yang terdapat dalam sayur berkenaan.
“Banyak kesan kalau terkena racun ini dan yang paling teruk boleh membawa maut. Kalau terkena dalam bahagian dalam mulut, akan jadi ulser mulut, mulut melecur, dan radang pada bahagian tekak,” katanya di sini baru-baru ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sayur beracun dari daerah ini yang dihalang memasuki Singapura sama ada menggunakan racun perosak secara berlebihan atau tidak dibenarkan dikhuatiri dijual di pasaran tempatan dan berisiko menjejaskan kesihatan.
Dakwaan itu berasas apabila Singapura mengeluarkan 39 notifikasi penolakan melibatkan 14 pengeksport sayur dari daerah ini pada tahun lalu
Sementara itu Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr. Noormazlinah Ahmad berkata, tanaman dari Cameron Highlands perlu mengikut garis panduan yang ditentukan oleh negara luar terutamanya limitasi kandungan bahan-bahan berbahaya untuk dimakan seperti bahan kimia dan racun.
Ujarnya, sayur-sayuran yang tinggi bahan kimia boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk akumulasi tanah yang tepu dengan bahan kimia disebabkan oleh penggunaan racun dan baja kimia saban tahun.
Katanya, bahan kimia juga digunakan sebagai pengawet untuk sayur kekal bertahan bila keluar dari kawasan yang bersuhu sejuk.














