PETALING JAYA – Sikap memandang ringan hutang hingga culas melunaskannya boleh meruntuhkan kepercayaan antara manusia.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu hantaran di laman Threads, beliau mengingatkan bahawa hutang bukan sekadar pinjaman biasa, sebaliknya satu amanah besar yang wajib diselesaikan.
Menurutnya, ramai yang pada awalnya tampil meyakinkan ketika meminjam wang dengan janji akan membayar semula dalam tempoh ditetapkan.
“Awal-awal nampak sangat meyakinkan. Janji menjadi ikatan kata, suara pun penuh dengan pengharapan. Maka, kita pun percaya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan sering berubah apabila tiba tarikh pembayaran apabila mesej tidak dibalas malah ada yang terus menghilangkan diri.
“Tapi bila sampai tarikh, senyap sunyi. WhatsApp tak dibalas. Bahkan, ada yang terus hilang, siap di ‘block’,” ujarnya.
Tambahnya, yang lebih mengecewakan, adalah apabila terdapat kes di mana wang yang dipinjam digunakan untuk tujuan lain seperti melancong ke luar negara.
“Lebih menyakitkan, rupanya duit yang dipinjam itu digunakan untuk melancong ke negeri seberang. Kita pula hanya mampu melihat melalui status mereka,” katanya.
Katanya, walaupun berhutang tidak salah, namun ia tetap satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh amanah.
“Berhutang itu tidak salah. Tetapi hutang adalah amanah yang wajib dibayar. Bila ia dipandang ringan, hilanglah nilai kepercayaan antara manusia,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pesanan Nabi Muhammad SAW agar umat Islam menjauhi hutang kerana ia membawa kepada keresahan dan kehinaan.
“Jauhilah kamu daripada hutang, kerana ia membawa kepada keresahan pada malam hari dan kehinaan pada siang hari,” katanya.- KOSMO! ONLINE














