PETALING JAYA – Penceramah bebas, Amin Idris menegur budaya maki hamun dan carut secara terbuka di media sosial yang didakwa semakin menjadi-jadi, khususnya melibatkan golongan dewasa termasuk pemimpin politik.
Menurutnya dalam satu hantaran di laman Facebook, situasi itu dilihat bercanggah apabila masyarakat sering memarahi kanak-kanak yang menggunakan kata kesat, namun pada masa sama orang dewasa sendiri tanpa segan silu mempamerkan tingkah laku sedemikian.
“Kita marah bila anak-anak cakap perkataan tidak baik, tetapi orang dewasa pula tanpa rasa malu mencarut dan memaki hamun hanya kerana perbezaan politik,” katanya.
Dia turut mempersoalkan kesan kepada generasi muda yang menyaksikan perbuatan tersebut secara terbuka di platform media sosial.
“Tak rasa malu bila anak-anak tengok video orang dewasa maki hamun dan mencarut secara terbuka?” ujarnya.
Dalam pada itu, Amin menyeru semua pihak termasuk pemimpin politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya menghentikan budaya memburukkan, menghina dan melabel individu hanya kerana tidak sependapat.
“Wahai pemimpin-pemimpin politik, hentikanlah budaya membabikan orang, membodohkan dan membangkangkan orang hanya kerana tidak bersetuju,” katanya.
Dia turut mengingatkan bahawa setiap perkataan yang dilafazkan akan dipertanggungjawabkan, sambil memetik ayat al-Quran sebagai peringatan kepada masyarakat agar menjaga tutur kata. – KOSMO! ONLINE














