MELAKA – Jangkaan Malaysia menjadi negara tua dalam tempoh empat tahun lagi semakin menjadi realiti apabila banyak pusat jagaan kini sesak dan tidak dapat menampung permintaan yang terlalu tinggi ekoran lonjakan jumlah warga emas.
Peningkatan ketara saban tahun itu diakui oleh pengendali rumah orang tua hingga mereka terpaksa menambah pusat baharu bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Statistik menunjukkan Malaysia mempunyai 11.6 peratus atau 3.9 juta warga emas daripada jumlah penduduk pada suku kedua 2024. Menjelang 2030, angka itu dijangka meningkat kepada 15.3 peratus atau 5.8 juta orang.
Pengarah Rumah Orang Tua Mahligai Kasih Juju (MKJ), Zamri Mamat berkata, trend tersebut semakin ketara sejak enam tahun lalu apabila dia mendapati berlaku pertambahan pantas penghuni secara berterusan.
Katanya, kemasukan tinggi itu memaksa mereka membuka sebuah lagi pusat jagaan di Bachang di sini dalam tempoh dua tahun selepas isterinya menubuhkan MKJ di Bukit Baru pada 2020.
“Mulanya ada empat penghuni sebelum naik mendadak sehingga 28 orang membuatkan pusat jagaan sesak. Kami membuka satu lagi cawangan tetapi pusat jagaan itu hanya boleh masuk maksimum 15 orang seperti yang disyaratkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita buka lagi satu cawangan di Hulu Langat, Selangor dan kini mempunyai 30 kakitangan untuk menjaga penghuni yang ramai,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Zamri, perubahan gaya hidup masyarakat hari ini menjadi penyumbang utama terutama apabila anak-anak sibuk bekerja dan tiada masa untuk menguruskan ibu bapa yang uzur atau sakit.
Tambahnya, anak-anak berpandangan kebajikan, kesihatan dan keperluan harian ibu bapa mereka lebih terjaga serta terurus di pusat jagaan.
“Kami sediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk makanan, kebersihan, pemantauan ubatan serta keperluan ibadah penghuni selain penjagaan harian bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Ujar Zamri, mereka juga menerima pesakit muda yang memerlukan penjagaan rapi dan tidak mampu urus diri. Usia penghuni yang dijaga antara 40 hingga 101 tahun.
“Waris boleh datang melawat bila-bila masa dan setakat ini tiada isu pengabaian penghuni oleh waris kerana kebanyakan keluarga masih mengambil berat dan sentiasa ziarah,” katanya.
Menurut Zamri, dia merancang untuk membuka satu cawangan di setiap negeri dalam tempoh 10 tahun akan datang kerana ia kini satu keperluan.
Di Shah Alam, Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, pihaknya menerima lebih 50 permohonan setiap bulan walaupun premisnya kini sudah mencapai tahap maksimum.
Katanya, premis itu hanya boleh menempatkan 50 penghuni sahaja kerana kekangan ruang dan keperluan penjagaan rapi.
“Kebanyakan mereka sudah uzur dan tidak mampu bergerak sendiri. Jika ada kematian atau kekosongan, baru kami ambil penghuni baharu. Kami hanya menerima warga emas yang dirujuk JKM dan hospital. Jika ada yang mahu hantar orang tua ke sini tanpa rujukan, kami tidak terima kerana tidak mahu waris lepas tangan,” katanya.
Menurut Muhammad Syafiq, terdapat penghuni yang tidak lagi dilawati oleh ahli keluarga atau waris walaupun pihak pengurusan telah berusaha menghubungi mereka.
Tambah beliau, pusat jagaan yang beroperasi sejak tahun 2016 itu bergantung kepada sumbangan kerajaan serta masyarakat bagi menampung kos operasi.
“Semua penghuni ditempatkan secara percuma dan pihaknya turut membantu membawa mereka ke hospital sekiranya memerlukan rawatan susulan.Segala keperluan penghuni termasuk makan minum dan rawatan akan diuruskan oleh pihak pusat dengan bantuan kakitangan serta sumbangan orang ramai,” katanya.














