JOHOR BAHRU – Sebanyak 70 projek pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan kaedah modular sedang dilaksanakan di seluruh negara bagi menangani isu kepadatan pelajar.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, projek ‘quick win’ itu melibatkan 91 kelas tambahan dengan kos keseluruhan sekitar RM80 juta di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, setiap projek bernilai antara RM1 juta hingga RM1.3 juta bergantung kepada skala pembinaan.
“Kaedah IBS dan modular membolehkan pembinaan disiapkan dalam tempoh lima hingga enam bulan.
“Inisiatif ini hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi meningkatkan kemudahan pendidikan dengan segera,”katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat JKR Daerah Johor Bahru di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, Johor Bahru dikenal pasti sebagai antara daerah yang menerima tumpuan utama berikutan kepadatan pelajar yang tinggi, dengan beberapa projek bilik darjah tambahan perlu disiapkan menjelang hujung tahun ini.
Jelasnya, sebanyak 12 projek IBS dan modular sedang giat dilaksanakan di daerah tersebut, melibatkan pembinaan bilik darjah baharu bagi menampung pertambahan murid. – KOSMO! ONLINE














