PETALING JAYA – “Setakat pukul 1.22 petang, jujur aku dah mula berdebar asyik nak ‘clock in’ (masuk) setiap jam.”
Itu antara luahan penjawat awam yang berkongsi pengalaman hari pertama pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang bermula semalam.
Individu itu berkata, disebabkan peraturan tersebut dia lebih memilih untuk bekerja di pejabat.
“Lebih baik aku buat kerja dekat pejabat, tak ada peraturan merapu. Aku boleh selesaikan tugas aku lagi baik. Ni tak. Aku perasan, aku jadi berdebar takut terlepas ‘clock in’.
“Saya minta maaf kerajaan, peraturan BDR kali ini membuatkan semua kakitangan memilih untuk kerja di pejabat,” katanya di media sosial.
Luahannya itu meraih perhatian orang ramai yang juga terdiri daripada penjawat awam, malah ada pihak turut bersetuju dengan kenyataannya itu.
“Ramai memilih untuk datang pejabat bagi arahan BDR kali ni. Lebih tenang dan aman menyelesaikan tugasan di pejabat,” ujar seorang pengguna.
“Dua jam sekali okay kot, ni sejam sekali. Entah la…kira macam takut pula, takut terlepas. Tak tenang nak kerja,” komen pengguna lain.
“Semua kena ‘anxiety’ nak tunggu setiap jam ‘punch in’. Baik pergi pejabat, tenang-tenang je buat kerja,” cadang seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE














