IPOH – Kerajaan Perak tidak mempunyai perancangan untuk membuka atau menambah keluasan baharu bagi Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri Perak telah menetapkan bahawa pelaksanaan sebenar ZPLH hanya melibatkan kawasan seluas 32,375 hektar.
Beliau menjelaskan, ia bersamaan kira-kira 3 peratus daripada keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini.
“Untuk makluman Yang Berhormat Pengkalan Baharu, negeri Perak telah diluluskan kawasan ZPLH seluas 100,000 hektar melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-68 pada 2012.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak telah menetapkan pelaksanaan sebenar ZPLH hanya melibatkan kawasan seluas 32,375 hektar,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri merancang untuk membuka lagi ladang-ladang hutan di dalam hutan simpan negeri Perak.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, pelaksanaan pembangunan ladang hutan itu dilaksanakan secara berfasa dan tidak diberikan kelulusan secara serentak.
Saarani berkata, ia bagi memastikan perancangan lebih tersusun serta pemantauan yang berkesan terhadap impak alam sekitar dan pengurusan sumber hutan.
“Sehingga 31 Disember 2025, daripada jumlah keluasan yang ditetapkan tersebut, hanya berbaki seluas 809 hektar yang masih belum diberikan kelulusan,” katanya.
Saarani memberitahu, di bawah ZPLH, keluasan ladang hutan diluluskan adalah seluas 31,566 hektar, ladang hutan yang telah dibangunkan (8,810 hektar), ladang hutan yang telah ditanam (8,184 hektar), ladang hutan dalam proses penanaman (626 hektar) dan ladang hutan belum dibangunkan (22,756 hektar).
“Ingin saya tegaskan bahawa pembukaan kawasan ladang hutan dalam HSK adalah tertakluk sepenuhnya kepada had keluasan ZPLH yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














