fbpx
Norliza, (tengah) menyantuni Nur Surfina dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Pelajar cemerlang kehilangan ibu, terima sokongan PTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pelajar cemerlang yang meraih keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima suntikan semangat apabila disantuni Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas melalui detik sukar kehilangan ibu tersayang.

Pelajar berkenaan, Nur Surfina Arissa Shukri Abdullah disantuni menerusi Program Ziarah Kasih oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan, dia merupakan anak tunggal yang kehilangan ibunya, Allahyarham Suriati Dollah pada 16 Mac lalu akibat kanser, tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di kediaman pelajar itu di Bandar Tasek Mutiara.

Menurut Norliza, bantuan berjumlah RM1,000 itu disalurkan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime sebagai persediaan awal pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT).

“PTPTN terpanggil untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar ini selain memberi dorongan agar dia terus bersemangat mengejar cita-cita,” katanya.

Tambahnya, kehilangan ibu merupakan satu ujian besar, namun pihaknya berharap sumbangan tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pelajar itu untuk terus bangkit dan melakar masa depan lebih cemerlang.

Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang memberi fokus kepada golongan pelajar termasuk asnaf bagi membantu meringankan beban mereka.

Dalam masa sama, PTPTN turut menggalakkan masyarakat membuat simpanan pendidikan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan cukai, perlindungan takaful serta dividen kompetitif.

PTPTN menegaskan akan terus komited melaksanakan program kebajikan dan pendidikan demi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN