fbpx
Anthony pada sidang akhbar berhubung kempen penggunaan rel bagi menangani peningkatan kos bahan api di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini. Foto oleh AISOL MUSTAFA

Diskaun ETS, ERT 30 peratus ringankan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket tren elektrik (ETS) semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dalam usaha meringankan beban rakyat.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu melibatkan semua sektor ETS serta laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral bagi perkhidmatan ERT.

Menurutnya, tawaran tersebut hanya terpakai bagi perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis sebagai usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Inisiatif ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat,” katanya di Sidang Media Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.

Tambahnya, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kos perjalanan serta meningkatkan mobiliti rakyat di samping menyokong agenda pengangkutan awam yang lebih mampan.

“Tawaran ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan rel sebagai mod utama, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan dan meningkatkan mobiliti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, diskaun tersebut tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pengurusan kapasiti tren dapat dilaksanakan dengan lebih efisien ketika permintaan tinggi.

“Orang ramai boleh ini boleh membeli tiket menggunakan kod promosi yang akan diumumkan oleh KTMB bermula esok hingga 30 April ini,” katanya.

Namun begitu, tegasnya, diskaun tersebut tidak melibatkan tiket kelas perniagaan ETS, kelas satu serta tempat tidur bagi ERT, selain tidak terpakai kepada pemegang tiket konsesi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Express Rail Link (ERL) turut memperkenalkan inisiatif bersasar menerusi MyPutrajaya Monthly Travel Card (MTC) dan MyKLIA Monthly Travel Card.

Katanya, MyPutrajaya MTC ditawarkan khusus kepada penjawat awam terutama yang bekerja atau menetap di Putrajaya, manakala MyKLIA Monthly Travel Card pula dikhaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Lapangan Terbang KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Menurutnya, kedua-dua program itu menawarkan perjalanan tanpa had sepanjang tempoh langganan dengan kadar lebih rendah.

“Melalui inisiatif ini, pengguna boleh menikmati diskaun sehingga 90 peratus berbanding tambang biasa bergantung kepada sektor perjalanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN