KUANTAN – Tindakan seorang jurujual menjual tanah miliknya untuk dijadikan modal pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan musnah apabila dia diperdaya dalam satu skim pelaburan saham tidak wujud.
Akibat daripada itu mangsa yang merupakan lelaki berumur 44 tahun terpaksa berputih mata berputih mata apabila wang simpanan dan hasil jualan tanah bernilai RM 427,000 lesap.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 17 Disember lalu selepas mangsa dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan peluang pelaburan menjanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh 30 minit.
“Mangsa kemudiannya telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan serta mendaftar sebagai ahli pelaburan.
“Sepanjang tempoh dari 10 Februari hingga 3 April lalu, mangsa telah membuat 11 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM 427,000,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM23,000 sebelum tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Katanya, susulan itu mangsa kemudian menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan awal mendapati kerugian mangsa melibatkan wang simpanan dan hasil jualan tanah.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat dan disarankan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui portal Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.
“Orang awam yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan juga diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan bantuan segera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














