SEMENYIH – Malaysia masih berdepan kekurangan pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya ketika negara giat menarik pelaburan berteknologi tinggi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, kekurangan tenaga mahir dalam bidang tersebut semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Memang kita menghadapi masalah ini…kita tidak cukup, terutamanya apabila kita sekarang dapat menarik banyak pelaburan berteknologi tinggi. Kita perlukan lebih ramai bakat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Program Minggu Sains Negara 2026 di Universiti Nottingham Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini jumlah tenaga kerja berkemahiran STEM masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan industri semasa.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan berharap program seperti Minggu Sains Negara (MSN) dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang berkenaan.
Dalam masa sama, beliau meletakkan harapan agar sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar di negara ini memilih aliran STEM pada masa hadapan.
“Kita harap lebih ramai yang memilih aliran STEM, sebab negara kita memang memerlukan bakat STEM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














