SUNGAI PETANI – Seorang lelaki melarikan diri selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) terlibat dalam kemalangan di Kampung Alor Jawi, Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, MPV jenis Nissan Grand Livina terbalik dengan dua lelaki asing dipercayai etnik Rohingya cedera.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan, manakala enam lagi PATI terdiri termasuk dua wanita tidak cedera dan berada di bawah pengawasan polis.
Pemandu MPV dipercayai tekong darat sempat meloloskan diri di kawasan sawah selepas kemalangan.
Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, ketika kejadian, dia menunggang motosikal dalam perjalanan ke pasar Kota Kuala Muda untuk membeli ikan.
“Semasa melalui kawasan itu, sebuah Nissan Grand Livina berwarna putih dilihat dipandu laju sebelum terbabas dan terbalik ke kawasan sawah.
“Saya dan beberapa pengguna jalan raya lain ternampak beberapa lelaki dan wanita keluar dari MPV tersebut. Ada antara mereka yang mengalami kecederaan,” katanya.
Saksi itu memberitahu, dia segera menghubungi Balai Polis Tikam Batu untuk memaklumkan kejadian dan membantu memberikan rawatan awal kepada mangsa yang tidak memahami bahasa Melayu.
“Pemandu MPV dipercayai mahu menyeludup keluar etnik Rohingya itu dari daerah ini,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














