BEKAS Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menganggap tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal yang memilih untuk bersuara di luar saluran rasmi ada agenda tersirat.
Menurut Mohd Yusoff, alasan untuk ‘menegur’ tidak boleh dijadikan perisai apabila saluran rasmi seperti mesyuarat Ahli Lembaga Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Kongres MFL jelas
tersedia.
Mohd Yusoff berkata, Johan bukan ‘orang baharu’ dalam ekosistem bola sepak tempatan sehingga mengeluarkan kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai janggal dan sarat persoalan.
“Dia bukan orang baharu. Dia tahu platform yang betul. Kalau benar mahu memperbaiki keadaan, kenapa tidak gunakan saluran itu?
“Apabila memilih untuk bercakap di luar, ia bukan lagi sekadar pandangan profesional, tetapi membuka ruang kepada pelbagai persepsi yang meragukan.
“Adakah ini berkait dengan agenda pemilihan FAM? Mungkinkah ia ada kaitan dengan hasrat wakil Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk bertanding jawatan Presiden FAM dan ini langkah awal membina pengaruh,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berharap sebarang usaha memperbaiki bola sepak negara perlu dilakukan secara profesional melalui saluran sah, bukannya mencetuskan ‘drama’ yang lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding penyelesaian.
“Kalau niat benar, gunakan platform yang ada. Bukan cari perhatian murahan. 10 tahun kebelakangan ini, kenapa senyap? Kenapa sekarang baru bersuara? Itu yang orang akan nilai,” katanya.
Arena bola sepak tempatan kecoh minggu lalu beberapa kelab Liga M mula menyuarakan keperluan untuk satu perbincangan meja bulat bagi membincangkan situasi sukar yang dihadapi kebanyakan pasukan pada musim ini.
Antara kemelut utama yang dibangkikan ialah kedudukan kewangan kelab, struktur perjalanan liga serta langkah jangka panjang untuk memastikan kelangsungan saingan domestik.
Pandangan itu timbul susulan kenyataan Johan yang mencadangkan agar semua kelab duduk semeja dan berbincang secara terbuka serta jujur mengenai realiti semasa Liga M.














