MARANG – Fenomena lambakan sotong jarum di pesisir Pantai Seberang Marang, di sini, bertukar pesta selepas hampir 1,000 orang memenuhi lokasi itu setiap hari sejak Khamis lalu.
Orang ramai yang menggunakan joran atau jala mula berkumpul di pantai itu bermula pukul 5.30 petang hingga lewat malam.
Seorang pengunjung, Zulkifli Abdullah, 63, menyifatkan banyak sotong jarum di pesisir Pantai Seberang Marang sebagai fenomena luar biasa.
“Saya yang sudah lebih 50 tahun menjadi nelayan tak pernah nampak lambakan sotong jarum tanpa henti mengerumuni pesisir pantai seperti ini.
“Selalunya tak nampak, kali ini saya rasa sudah hampir 100 kilogram (kg) sotong ditangkap orang ramai sejak Khamis lalu,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Azharuddin Mohd., 48, pula berkata, secara purata, setiap individu yang menggunakan jala mampu menaikkan sehingga tiga kilogram sotong setiap malam.
“Sangat mudah tanpa perlu ke tengah laut seperti sebelum ini. Fenomena ini tular sehingga pantai ini yang sebelum ini agak sunyi bertukar meriah,” katanya.
Mohd. Zubir Nawi, 45, berkata, sotong ditangkapnya cukup untuk dimakan seisi keluarganya untuk beberapa hari.
“Kalau dibeli di pasar, 1kg sotong jarum bersaiz kecil ini boleh mencecah RM20,” katanya.
Sementara itu, Syazren Afendi Abdullah, 18, pula sanggup datang dari Bukit Payong, di sini, yang terletak lebih 15 kilometer semata-mata untuk mencandat sotong di Pantai Seberang Marang.














