fbpx
Gambar hiasan.

Skandal urus niaga saham: Reman bekas CEO, pengerusi syarikat disambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh kebenaran menyambung reman selama lima hari terhadap seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan berkanun dan seorang pengerusi syarikat pegangan bagi membantu siasatan kes bersubahat dalam urus niaga penjualan saham.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek sehingga 16 April ini dikeluarkan Majistret Ainul Izzati Mohd Jamili selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi sebaik tempoh reman asal terhadap kedua-dua suspek tamat hari ini. Sebelum ini kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari sejak Khamis lalu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM , Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.

Pada Khamis lalu, media melaporkan, akaun bank bernilai kira-kira RM450 juta dibekukan SPRM susulan penahanan dua individu berkenaan.

Kedua-dua individu itu disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 April terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Azeren Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis lalu.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023.

Selain itu, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.

Pada Jumaat lalu media turut melaporkan, SPRM menggeledah dua lagi syarikat penilaian saham susulan penahanan bekas CEO sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan.

Menurut sumber, siasatan terkini turut mendapati penyelewengan itu dirancang dengan sistematik dan dipercayai berlaku juga transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN