KUALA KANGSAR – Polis menyita sebanyak 117 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di lampu isyarat Simpang Lawin, Jalan Kuala Kangsar–Gerik, di sini semalam.
Operasi bermula pukul 10 malam itu melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, dalam operasi tersebut, empat penunggang motosikal ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, sepanjang operasi itu juga, sebanyak 252 saman dikeluarkan oleh polis manakala JPJ pula mengeluarkan 119 notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan pengubahsuaian motosikal.
“Dalam pada itu, seramai 12 penunggang motosikal menjalani ujian saringan air kencing dan dua daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kedua-dua individu berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Kangsar,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi seumpama itu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk diambil tindakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














