PETALING JAYA – Seorang anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang parah dipercayai dipukul dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 RAMD, Bentong, Pahang, disahkan meninggal dunia selepas dua minggu menerima rawatan di hospital, hari ini.
Mangsa menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Bapa mangsa, Rosafindi Tambi Chik, 49, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan parah dipercayai dipukul suspek yang disyaki berpunca daripada ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan dalam kejadian pada 31 Mac lalu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar serta menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota di kem berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata, siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
Menurutnya, terdapat enam lagi mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun berada bersama ketika kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE














