fbpx
Anwar semasa sidang akhbar selepas solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Kampung Cheras, Pandan hari ini.

Bekalan minyak April-Mei terkawal – Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api bagi bulan ini dan Mei berada dalam keadaan terkawal meskipun berdepan beberapa cabaran logistik melibatkan pengangkutan kapal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan terkini yang dibentangkan oleh pihak Petronas menunjukkan sebahagian besar kapal penghantaran berjaya meneruskan perjalanan mengikut jadual.

Beliau berkata, sebuah kapal sudah keluar, enam lagi sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu giliran untuk keluar.

“Cuma satu kapal kita mengalami kerosakan dan tersadai di pelabuhan, namun secara keseluruhannya bekalan minyak masih dalam keadaan sangat terkawal,” katanya pada sidang akhbar selepas solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Kampung Cheras, Pandan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan menteri berkaitan bagi memantau keperluan tenaga negara secara menyeluruh.

Jelasnya, perkembangan semasa akan dipantau secara harian oleh Jemaah Menteri bagi memastikan kestabilan bekalan terus terjamin dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Mengulas isu harga bahan api, beliau menegaskan, kerajaan berusaha mempertahankan harga petrol RON95 walaupun berdepan tekanan kewangan.

“Walaupun ia sedikit membebankan kerajaan, langkah ini penting bagi mengurangkan beban rakyat,” ujarnya.

Beliau menyeru orang ramai supaya menggunakan bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran sebagai tanggungjawab bersama dalam membantu ekonomi negara.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan subsidi diesel bagi mengelakkan tekanan terhadap golongan tertentu termasuk peladang, petani dan nelayan.

Tambah beliau, beberapa kementerian sedang meneliti langkah bersesuaian bagi membantu sektor lain yang turut terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN