PETALING JAYA – Harga makanan domestik bagi minggu 18 hingga 21 Mei masih terkawal meskipun negara terus berdepan tekanan kenaikan harga bahan mentah ekoran ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, purata harga bshan mentan tersebut berada dalam julat pergerakan antara negatif 2 hingga 3.6 peratus.
“Pergerakan harga bagi item utama seperti ayam, purata harga sekarang adalah RM9.57 sekilogram. Bagi daging lembu, berita baik kerana harga turun sebanyak 2 peratus kepada RM38.45 sekilogram.
“Manakala bagi sawi, ada kenaikan ketara sebanyak 3.6 peratus kepada RM7.08
sekilogram,”katanya pada sesi dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Walaupun begitu katanya, terdapat kawasan dan premis perniagaan yang menawarkan harga barangan yang lebih rendah.
“Oleh itu, kepada peniaga, kita minta jangan ambil kesempatan. Kerajaan akan terus membuat pemantauan dan penguatkuasaan. Kepada rakyat, kita minta gunakan aplikasi PriceCatcher. Bandingkan harga.
“Jadilah pengguna yang bijak kerana kuasa membeli ada di tangan anda. Maklumat ini juga boleh disemak melalui Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan yang telah dibuka untuk akses orang awam,”katanya.-KOSMO! ONLINE














