PETALING JAYA – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkongsi jawapan balas terhadap surat tunjuk sebab terbaharu yang diterima daripada partinya, semalam.
Ahli Parlimen Pandan menjawab keempat-empat pertuduhan berkenaan menerusi media sosial miliknya pada hari ini, antaranya berkaitan teguran terhadap kepimpinan PKR supaya tidak membudayakan amalan bodek.
Menerusi jawapan balasnya, Rafizi berkata, ia bukan perkara baharu, malah beliau sering menyebutnya secara berdepan dengan presiden parti dalam ucapan-ucapannya di kongres parti sebelum ini.
“Sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.
“Sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau dan keluarga beliau sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, juga disambut dengan tawaduk selepas beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Bagi pertuduhan kedua, berkaitan perhimpunan membantah Tan Sri Azam Baki, Rafizi menafikan beliau menganjurkan himpunan tersebut.
“Perhimpunan itu dianjurkan oleh sekumpulan aktivis anak muda yang memanggil diri mereka Sekretariat Tangkap Azam Baki. Ia tidak dianjurkan oleh saya, seperti yang dituduh di dalam surat tunjuk sebab.
“Perhimpunan itu tidak berbeza dari Perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh kumpulan bukan partisan dan menjemput tokoh pelbagai bidang (termasuk ahlipolitik) untuk berucap,” ujarnya.
Selain itu, Rafizi juga menjawab pertuduhan bahawa Presiden Parti membenarkan penyokong-penyokong beliau menyebarkan fitnah.
“Serangan-serangan peribadi dan caci maki terhadap saya seperti ‘sotong’, ‘pondan’, fitnah-fitnah dan seumpamanya dihamburkan setiap hari oleh pimpinan-pimpinan parti, termasuklah oleh ketua-ketua cabang parti sendiri.
“Contoh yang paling jelas ialah caci maki yang dibuat oleh Ketua Cabang Paya Besar. Ucapan-ucapan presiden di konvensyen-konvensyen negeri, walaupun tidak menyebut nama saya, jelas merujuk kepada saya dan selari dengan serangan yang dibuat oleh pemegang-pemegang jawatan dalam parti seperti Ketua Cabang Paya Besar itu.
“Malah, tidak keterlaluan jika ada orang ramai yang menyimpulkan bahawa serangan pimpinan parti di bawah ini mengikuti isyarat dari ucapan-ucapan presiden sendiri,” jelasnya.
Pada masa sama, Rafizi turut menjawab pertuduhan berkenaan laporan-laporan beliau mengenai perilaku Presiden PKR berhubung beberapa individu tertentu.
“Kenyataan itu banyak berkisar kepada laporan-laporan mengenai perilaku presiden berhubung beberapa orang tertentu, terutamanya Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan.
“Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran, boleh membuat kesimpulan bahawa individu-individu seperti Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan presiden parti dan terlindung dari tindakan-tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain, sekiranya orang lain itu terpalit dalam tuduhan-tuduhan yang saya sebut di atas,” tambahnya.
Susulan itu, beliau berharap supaya Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara tersebut kerana rakyat sudah mual.
“Jika penjelasan saya itu dikira telah melanggar Perlembagaan parti, jadilah seperti sebuah parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














