REMBAU – Antara dua darjat. Itu yang boleh disimpulkan keadaan kawasan rekreasi Lubuk China di sini yang jauh berbeza dengan kawasan yang mempunyai nama sama di negeri jiran iaitu Melaka yang dipisahkan oleh Sungai Linggi.
Kawasan rekreasi dinamakan Dataran Dato’ Shabandar Lubok China yang dibangunkan dengan kos lebih RM3 juta kelihatan tidak terurus dan dibiarkan dalam keadaan semak samun, berbeza dengan Lubuk Cina di seberang sungai yang kelihatan lebih cantik dan terurus.
Pengerusi Kelab Belia Legasi Anak Rembau, Akmal Noradzmi Abd Rahim, 35, berkata, Dataran Dato’ Syahbandar Lubok China itu dibina pada 2006 oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pusat perniagaan.
Bagaimanapun katanya, antara sebab utama lokasi tersebut terbiar adalah disebabkan tempat parkir kenderaan agak terhad menyebabkan tidak ramai pengunjung datang.
“Saya cadangkan kemudahan yang ada dirobohkan daripada menjadi tempat mengundang aktiviti maksiat.
“Saya berharap pihak berkaitan segera mengembalikan tempat ini menjadi lokasi pengunjung memandangkan kawasan rekreasi di seberang sungai jauh berbeza dan diuruskan dengan baik,” katanya.
Seorang pemancing yang ingin dikenali sebagai Abu, 60, mahu kemudahan yang rosak dirobohkan kerana mencacatkan pemandangan dan diganti dengan yang baharu.
“Sudah agak lama kemudahan ini terbiar begitu sahaja. Saya minta pihak terbabit mengambil inisiatif membangunkan semula tempat ini,” katanya.
Difahamkan, pada 2014, Majlis Daerah Rembau (MDR) pernah membuat tawaran terbuka kepada pihak yang berminat untuk mengurus dan berniaga di lokasi tersebut, namun hanya bertahan dalam masa singkat.
Bermula 2019, MDR pernah mengadakan perbincangan dengan pihak swasta yang menawarkan pembangunan semula struktur dan perniagaan di kawasan itu, tetapi perbincangan tergendala kerana kos yang agak tinggi. Sehingga kini kawasan tersebut semakin terbiar.














