fbpx
Gambar hiasan

Polis buru tiga lelaki lari diri dalam semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Polis memburu tiga lelaki yang melarikan diri ke dalam semak ketika cuba ditahan di Kampung Pegoh di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kesemua suspek dikesan menaiki kereta jenis Volkswagen Polo berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan lampu isyarat Kelemak kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurutnya, anggota peronda yang menjalankan rondaan kemudiannya mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun pemandu bertindak memecut laju ke arah Kampung Pegoh sebelum berhenti di lokasi berkenaan.

“Sebaik kenderaan berhenti, tiga lelaki dilihat keluar dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran bagi mengelak daripada ditahan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya lagi, kesemua mereka berpakaian serba hitam dan salah seorang daripadanya memakai topi berwarna merah.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan suspek menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel.

“Pemilik kenderaan tersebut telah dikenal pasti dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan kaitan pemilik dengan kejadian berkenaan,” ujarnya.

Katanya, pihaknya masih giat mengesan ketiga-tiga suspek dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Orang awam boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di 06-5564153.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN