fbpx
Nazwa Hanim ketika menyemak salah satu mushaf al-Quran di sebuah kedai buku di sekitar Perak.

15 minit membongkok semak al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Di sebalik lambakan mushaf, bingkai kaligrafi dan bahan al-Quran yang dijual di pasaran, tersimpan satu tugas besar yang jarang diketahui ramai iaitu memastikan setiap ayat suci dicetak dengan tepat tanpa sebarang kesalahan.

Bagi Nazwa Hanim Abu Bakar, 39, kerjaya sebagai penyemak al-Quran bukan sekadar tugas rasmi, sebaliknya satu amanah berat yang menuntut ketelitian tinggi, ilmu, kesabaran dan rasa tanggungjawab terhadap kesucian kalam Allah.

Pernah berdiri dan membongkok selama 15 minit bagi satu bingkai cetakan al-Quran, Ketua Unit Regulatori Al-Quran dan Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2018 itu berkata, kerja menyemak bukanlah mudah seperti disangka.

“Ada kalanya terpaksa memeriksa bingkai besar yang me­ngandungi tulisan khat yang rumit seperti kufi dan thuluth.

“Meskipun berdepan masalah kesihatan iaitu skoliosis, amanah ini perlu digalas demi memastikan bahan cetakan al-Quran di pasaran sentiasa tepat, terpelihara dan bebas sebarang kesalahan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, peranannya le­bih menjurus kepada semakan, kawal selia dan rujukan berkaitan bahan teks al-Quran di pasaran.

Beliau juga buat semakan me­libatkan bahan yang masuk me­lalui pintu masuk negara, bungkusan kiriman serta bahan al-Quran yang dijual secara dalam talian.

“Jadi jika anda beli al-Quran secara dalam talian, jangan terkejut jika bungkusan anda dibuka oleh pemeriksa macam saya.

“Kami cuma mahu semak, jika semua menepati piawaian, kami akan bungkus semula dan tampalkan pelekat ‘diperiksa KDN’. Sekarang cabarannya adalah platform dalam talian. Orang jual macam-macam. Ada yang tidak tahu pun bahawa setiap teks al-Quran yang dicetak perlu ada semakan dan cop perakuan kelulusan,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu memahami bahawa apa sahaja bahan yang mengandungi teks al-Quran, sama ada dalam bentuk cetakan, aplikasi, cakera padat, kaset atau bahan lain yang melebihi satu juzuk, perlu melalui proses semakan dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

“Bagi bingkai kaligrafi ayat al-Quran buat masa ini tidak perlu cop kelulusan KDN. Namun masyarakat perlu menilai lebih teliti sebelum membeli bingkai khat atau kaligrafi ayat al-Quran. Dapatkan nasihat pakar sebelum membeli,” katanya.

Katanya, tujuan kawal selia itu bukan untuk menyusahkan, tetapi bagi mengelakkan berlakunya kesalahan cetakan seperti kehilangan huruf dan kesalahan baris serta perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Ramai orang nampak bingkai al-Quran yang cantik, berwarna-warni, dihias manik dan batu hiasan, lalu terus tertarik untuk beli tapi sebenarnya ramai tidak tahu bingkai ayat al-Quran juga tidak terlepas daripada kesalahan besar seperti kehilangan huruf dan kesalahan baris pada ukiran atau cetakan yang membawa kepada rosaknya ayat.

“Al-Quran rumi juga tidak pernah mendapat kelulusan sebab tidak boleh dicetak. Ada pihak menyatakan al-Quran rumi memudahkan bacaan, namun matlamat tidak menghalalkan cara kerana al-Quran rumi gagal mewakili mana-mana huruf hijaiyah dengan sempurna, sekali gus akan rosak makna ayat apabila dibaca,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN