fbpx
Hukum asal mencukur bulu kaki bagi orang perempuan atau lelaki adalah harus kerana tidak terdapat arahan untuk mencukurnya serta tiada pula larangan menyimpannya. - Gambar hiasan

Bolehkah perempuan, lelaki cukur bulu kaki?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mohon penjelasan Mufti, apakah hukum bagi orang lelaki atau perempuan mencukur bulu kaki?

Jawapan: Berkenaan dengan isu mencukur bulu-bulu yang terdapat pada anggota badan manusia, para ulama mengkategorikan hukumnya kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama, bulu-bulu yang terdapat perintah untuk mencukurnya.

Di dalam nas-nas syarak, terdapat beberapa perintah yang mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuh manusia.

Ini sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Fitrah itu ada lima atau lima perkara yang menjadi fitrah iaitu berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.

Para ulama apabila mengulas kalimah Istihdad daripada hadis di atas mengatakan, maksudnya adalah mencukur bulu kemaluan. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Istihdad adalah mencukur bulu kemaluan iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya.” (Lihat Tahrir Alfazh al-Tanbih, Al-Nawawi, hlm. 253).

Berdasarkan hadis di atas, terdapat tiga bulu yang disebutkan untuk dipotong iaitu bulu kemaluan, bulu ketiak, dan juga misai. Maka kita diperintahkan untuk memotong, mencukur, atau mencabutnya.

Kedua, bulu-bulu yang terdapat larangan mencukurnya. Terdapat bulu-bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Antaranya adalah memotong atau mencukur janggut bagi orang lelaki.

Larangan ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Cukurlah misai-misai dan biarkanlah janggut-janggut.” (Riwayat Muslim, 259)

Berdasarkan riwayat diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berbezalah kalian dengan orang musyrikin, kekalkan janggut dan potonglah misai.” (Riwayat Al-Bukhari, 5892)

Perintah Nabi SAW untuk membiarkan janggut bererti juga dalam masa yang sama Baginda melarang daripada perbuatan mencukur janggut. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang disebutkan oleh Imam Al-Haramain Abdul Malik Al-Juwaini Rahimahullah: “Perintah untuk melakukan sesuatu adalah larangan kepada perbuatan yang menyelisihinya. Manakala larangan melakukan sesuatu adalah perintah kepada meninggalkannya.

Selain itu, antara bulu-bulu yang dilarang mencukurnya juga adalah bulu kening. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita mencukur bulu kening serta wanita meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

Kesimpulannya, hukum asal mencukur bulu kaki bagi orang perempuan atau lelaki adalah harus. Ini kerana, tidak terdapat arahan untuk mencukurnya serta tiada pula larangan menyimpannya.

Walaupun begitu, jika memotong atau mencukur bulu-bulu tersebut boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) lelaki kepada wanita, maka hukumnya adalah dilarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN