fbpx
ANGGOTA penguatkuasa KPDN Johor memeriksa aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah untuk diseleweng dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Sri Purnama, Johor Bahru hari ini. Foto KPDN

Sedut 3,300 liter diesel, jual di pasaran gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kegiatan licik sindiket ‘sedut diesel’ dipercayai aktif menyeleweng bahan api untuk dijual ke pasaran gelap tersungkur selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor di Kawasan Perindustrian Sri Purnama, di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 40 tahun dipercayai dalang utama kegiatan haram tersebut diberkas sekali gus menamatkan operasi mereka yang dipercayai sudah lama aktif.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sindiket itu menggunakan lori yang diubah suai khas dengan pemasangan tangki bagi menyedut dan mengumpul diesel dalam kuantiti besar secara haram.
“Pemeriksaan mendapati sebuah lori mempunyai tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berisi 3,000 liter diesel dipercayai untuk dijual.

“Turut ditemui sebuah lori tangki membawa tambahan 300 liter diesel menjadikan jumlah keseluruhan rampasan 3,300 liter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siasatan awal mendedahkan modus operandi sindiket adalah dengan ‘menyedut’ diesel daripada sumber tertentu sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dipasarkan kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, dalam serbuan sama, pihaknya merampas pelbagai peralatan termasuk pam, hos, mesin pengukur dan dokumen pembelian dipercayai digunakan bagi melancarkan kegiatan tersebut. Nilai rampasan dianggarkan RM73,296.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, dengan hukuman lebih tegas menanti bagi kesalahan berulang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN