fbpx
SELEPAS lebih dua dekad bergelar pelakon, Aedy Ashraf kini menjadi produser apabila menerbitkan filem pertama, Tarung: Unforgiven.

‘Buat filem sendiri, mestilah saya pun dapat berlakon sekali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH separuh usia didedikasikan kepada dunia lakonan, sedikit pun tidak pernah terdetik kekesalan dalam jiwa aktor Aedy Ashraf mengenangkan sisi hitam dan kesukaran yang dilalui sehingga ke hari ini.

Seawal sekolah rendah sudah beraksi di depan kamera, kini selepas mencecah umur 33 tahun pemilik nama lengkap Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu bersyukur dapat duduk di kerusi penerbit.

Biar bertatih sehingga berdirinya Alpha 47 Films, syarikat produksi tersebut mengorak langkah lebih lebar dengan menerbitkan filem aksi, Tarung: Unforgiven.

Akuinya, langkah berani tampil sebagai penerbit filem adalah bersandarkan keinginannya untuk mencabar diri selepas sekian lama bergelar pelakon.

“Boleh dikatakan sudah agak lama juga saya dalam industri sebagai pelakon. Jadi saya nak buat sesuatu yang saya rasa belum pernah dilakukan iaitu menerbitkan filem.

“Alpha 47 Films sudah ditubuhkan lama bermula dengan video korporat serta iklan komersial, kiranya Tarung: Unforgiven merupakan peralihan besar buat saya sendiri, dari pelakon kepada produser.

“Memang secara peribadi, saya sudah lama menunggu saat ini. Tentu sahaja mencabar kerana saya memakai dua topi iaitu pelakon dan penerbit, tetapi hasilnya berbaloi,” katanya kepada HibGlam.

Kongsi Aedy lagi, awalnya dia sendiri ingin mengarahkan filem tersebut tetapi berubah fikiran selepas mempertimbangkan beberapa perkara terutama tanggungjawab selaku produser.

Katanya, nyata itu keputusan terbaik apabila sutradara yang diamanahkan memberi sentuhan kepada Tarung: Unforgiven, Razaisyam Rashid melunaskan kerja dengan sempurna.

“Saya mempunyai impian duduk di kerusi pengarah, tetapi apabila berada di posisi penerbit, hakikatnya ini tanggungjawab yang jauh lebih besar.

“Tanggungjawab penerbit melibatkan keseluruhan proses daripada awal sampai ke penghujung, bukan sekadar bahagian kreatif,” ujarnya.

Inspirasi

Pada masa sama, dia juga mahu mencabar diri selain menyuntik inspirasi kepada rakan seperjuangan lain agar berani meneroka potensi diri.

“Kalau saya boleh buat filem sebegini, kenapa orang lain tak boleh buat? Saya rasa ramai lagi anak seni berbakat di luar sana, cuma mungkin mereka belum ada peluang,” katanya.

Tambah bintang filem Kahar: Kapla High Council itu, lakonan tetap menjadi pilihan pertama walaupun sudah bergelar penerbit.

“Berlakon masih lagi cinta pertama saya. Mustahil untuk saya berhenti berlakon tapi jika saya ada idea dan disokong pasukan yang solid, saya boleh hasilkan filem lain.

“Kalau saya yang buat filem baharu, mestilah saya pun dapat berlakon sekali,” jelasnya.

Mengenai watak dalam filem yang bakal menemui penonton pada 7 Mei nanti, Aedy menggalas karakter Isa iaitu remaja yang bergelut dengan luka emosi serta trauma masa lalu.

Selain Aedy, naskhah berkenaan turut membariskan gandingan pelakon popular seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.

Tarung: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat, Hatta lakonan Mierul yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia kemudian dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari pihak lawan merupakan individu rapat dengannya satu ketika dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN