fbpx
Malek ketika ditemui berhubung tokong ditulis kalimah Allah berhampiran bakau di Jalan Jeti Anjung Batu - Pantai Siring hari ini. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Penduduk syak ‘budak nakal’ conteng kalimah Allah dalam tokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Penduduk Serkam dekat sini yang gempar dengan penemuan tulisan kalimah Allah dan Bismillah pada dinding sebuah tokong yang terletak di kawasan berhampiran bakau di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring percaya ia perbuatan individu bermasalah.

Seorang penduduk, Haslinda Musa, 43, berkata, tokong itu telah dibina sekitar tujuh tahun lalu oleh pemilik tanah dalam kawasan yang berpagar, namun telah terbiar lama dan tidak digunakan oleh sesiapa.

“Saya tinggal berhampiran kawasan itu dan kali terakhir nampak tauke tu datang gunakan tokong sekitar empat tahun lalu, selepas itu memang tak pernah nampak dah sesiapa datang.

“Kami syak memang kerja budak nakal yang conteng kalimah Allah sebab selepas dah lama tokong itu terbiar, laluan di tepi kawasan tersebut digunakan oleh orang awam yang pergi memancing,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di lokasi, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Malek Abdul Rahman, 67, memberitahu, rata-rata masyarakat setempat tidak mempunyai masalah dengan pembinaan tokong tersebut, namun tindakan penguat kuasa merobohkannya dianggap bertepatan selepas ia dicemari dengan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama.

“Eloklah ia dirobohkan kerana takut selepas ini pelbagai spekulasi lain timbul atau ada yang melatah mengaitkan ia dengan isu perkauman. Kami yakin, perbuatan itu dilakukan oleh individu yang tidak waras,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Minyak, Fazli Mohammad berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat andaian melulu berhubung kewujudan struktur berkenaan.

“Kalau boleh jangan cepat melatah, biarlah pihak berkuasa jalankan siasatan terlebih dahulu kerana setakat ini kita tidak pasti status tanah itu kerana ia milik siapa.

“Hasil pemerhatian di lokasi juga tidak jumpa sebarang tanda aktiviti pemujaan dilakukan seperti kesan pembakaran atau penggunaan colok, malah kawasan itu memang sering jadi kawasan lepak pemancing, saya percaya ia mungkin dilakukan oleh individu yang mempunyai masalah emosi atau mental,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN