KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat koperal yang digantung tugas didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan menyamun dan cubaan merompak dua individu termasuk seorang wanita November lalu.
Tertuduh, Mohd. Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad dan Majistret Rais Imran Hamid.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34, semasa berada di sebuah kedai runcit di Kampung Kemumin, Jalan Sabak di sini kira-kira 10.30 malam, 7 November 2025.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu setiap bulan.
Bagaimanapun peguam Nur Sarah Syamimi Safie merayu ikat jamin RM10,000 dengan alasan anak guamnya yang ditahan kerja sejak 2023 ketika ini bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM30 hingga RM50 sehari.
“Tertuduh juga menanggung isteri yang bekerja sebagai jururawat dan dua anak berusia 11 dan 17 tahun. Isterinya menghidap kanser ovari tahap tiga dan memerlukan rawatan susulan di hospital,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Jun depan.
Di Mahkamah Majistret, Mohd. Irfan Azieyadi mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan cubaan rompak terhadap lelaki asing, Rahman Ubaid di depan sebuah rumah di Jalan Tok Kenali di sini kira-kira pukul 5.15 petang, 12 November tahun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili dua peguam sama.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM7,500 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh atau mana-mana ejen dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tarikh 4 Mei ditetapkan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














