PETALING JAYA – Suasana tenang awal pagi di Stesen LRT Pandan Indah, Ampang bertukar bising apabila seorang lelaki bertindak membuat kecoh dengan menjerit-jerit sekitar pukul 5.30 pagi tadi.
Menerusi satu rakaman video, lelaki berkenaan dilihat menjerit seolah-olah sedang menuntut bayaran daripada seseorang, namun tiada individu lain kelihatan berada di sekitar kawasan tersebut.
Difahamkan, keadaan menjadi lebih tegang apabila lelaki itu kemudiannya mengambil sebatang besi sebelum bertindak memukul bahagian kotak penggera (alarm) di stesen berkenaan sehingga ia berbunyi.
Rakaman kejadian itu dikongsikan oleh pengguna Instagram @dyannakamal_ menerusi Insta Story miliknya dua jam lalu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca sebenar kejadian serta keadaan terkini lelaki terbabit sama ada mengalami masalah kesihatan atau sebaliknya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE














