PUTRAJAYA – Kerajaan sedia mempertimbang keperluan untuk meletakkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen-stesen minyak di sempadan negara bagi tujuan keselamatan susulan isu penyeludupan bahan api.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berkongsi beberapa siri penahanan khususnya di stesen-stesen minyak di sempadan negara.
“Jemaah Menteri melihat aspek keselamatan perlu dipertingkatkan dan sedia mempertimbang keperluan kehadiran anggota polis bagi memastikan aspek keselamatan di stesen-stesen minyak di sempadan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan Kabinet dan Taklimat Khas Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan kad fleet terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). – KOSMO! ONLINE














