fbpx
Gambar hiasan.

Budi Diesel: Mekanisme guna MyKad diteliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti mekanisme sesuai bagi agihan Budi Diesel termasuk penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi bahan api berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Kewangan (MoF) telah diarahkan untuk meneliti mekanisme itu sebelum diputuskan oleh Jemaah Menteri kelak.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan beberapa perkara susulan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang telah berlangsung semalam.

“Beberapa ikhtiar akan disusuli termasuk apa yang telah diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk bagi diesel untuk rakyat Malaysia.

“Mekanisme ini akan diteliti oleh MoF dan akan diputuskan di Jemaah Menteri sebelum diumumkan secara muktamad kelak,” katanya pada sidang akhbar mingguan Kabinet dan Taklimat Khas Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang menilai kemungkinan untuk memperluaskan penggunaan MyKad dalam pemberian subsidi diesel bersasar, susulan kejayaan pelaksanaan skim Budi Madani RON95 (Budi95).

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, mesyuarat hari ini juga turut membincangkan isu dihadapi golongan nelayan yang terkesan dengan kenaikan harga diesel.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah diminta untuk susuli dengan beberapa tindakan.

“Ia termasuk mengambil kira perbezaan antara harga diesel bersubsidi dan juga pulangan hasil yang dinikmati serta diterima oleh nelayan.

“Untuk maklumat lanjut, kita akan ikuti kelak apa-apa kenyataan terbaru dan terkini dari pihak KPKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN