fbpx
Donald Trump - AFP

Trump setuju gencatan senjata, tangguh serang Iran 2 minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEHRAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju untuk menangguhkan rancangan pengebomannya ke atas Iran selama dua minggu selepas beliau mengeluarkan ancaman bahawa ‘seluruh tamadun akan mati’ sekiranyaTehran tidak mematuhi tuntutannya, lapor saluran berita Al Jazeera.

Beberapa jam selepas serangan yang dirancang, Trump mengumumkan di platform Truth Social bahawa beliau telah mengubah fikiran.

Beliau memuji Pakistan kerana menjadi pengantara penyelesaian itu tetapi memberi amaran bahawa ia datang dengan syarat iaitu Iran membuka semula Selat Hormuz.

“Berdasarkan perbualan dengan Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan Field Marshal Asim Munir dari Pakistan, di mana mereka meminta saya menangguhkan penghantaran kuasa pemusnah malam ini ke Iran serta tertakluk kepada Republik Islam yang bersetuju dengan pembukaan Selat Hormuz secara lengkap, segera dan selamat, saya bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran selama tempoh dua minggu,” tulis Trump.

Mesej itu disiarkan pada pukul 6.32 petang (waktu tempatan), kurang satu setengah jam sebelum tarikh akhir serangan Trump pada pukul 8 malam (waktu tempatan).

Tidak lama selepas mesej Trump, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengesahkan bahawa persetujuan sementara telah dicapai.

“Jika serangan terhadap Iran dihentikan, angkatan tentera berkuasa kita akan menghentikan operasi pertahanan mereka,” tulis Araghchi.

“Bagi tempoh dua minggu, laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dapat dilakukan melalui penyelarasan dengan Angkatan Tentera Iran dan dengan pertimbangan sewajarnya terhadap batasan teknikal,” tambah beliau.

Araghchi turut mengucapkan terima kasih kepada Pakistan atas rayuan saat akhir untuk menggantung kempen pengeboman AS. 

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran juga membayangkan dalam kenyataan berasingan bahawa gencatan senjata boleh dilanjutkan melebihi dua minggu jika rundingan berjalan lancar.

Rundingan selanjutnya dijangka berlangsung di Islamabad dalam beberapa minggu akan datang. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN