KUALA LUMPUR – Legenda tenis dunia, Andre Agassi melihat peluang pickleball untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik semakin cerah, malah percaya impian itu mampu direalisasikan dalam masa terdekat.
Bekas pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 itu menyifatkan perkembangan pesat sukan tersebut di peringkat global sebagai faktor utama yang mempercepatkan laluan ke pentas sukan terbesar dunia.
“Ia sesuatu yang luar biasa jika dapat melihat pickleball di Olimpik. Saya rasa kita sudah mula melihat ke arah itu,” katanya pada sidang media Jelajah JOOLA Titans di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
Menurutnya, sistem penganjuran Olimpik yang memberi hak kepada tuan rumah untuk memperkenalkan sukan baharu turut membuka ruang kepada pickleball untuk disenaraikan.
“Setiap negara tuan rumah mempunyai hak untuk menambah sukan. Kita sudah lihat breakdance dimasukkan dalam Olimpik baru-baru ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, Agassi optimis pickleball bukan sahaja berpotensi, malah berada di landasan tepat untuk direalisasikan sebagai acara rasmi Olimpik.
“Saya percaya ia satu sasaran yang realistik dan boleh dicapai, malah mungkin berlaku lebih cepat daripada jangkaan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan meskipun populariti pickleball meningkat mendadak, sukan itu sebenarnya masih berada di fasa awal perkembangan.
“Walaupun sukar dipercayai, pickleball masih di peringkat awal. Jika dilihat secara global, ruang untuk berkembang masih sangat besar,” katanya.
Selain Agassi, Jelajah JOOLA Titans di Kuala Lumpur turut menampilkan beberapa nama besar lain seperti Ben Johns dan Anna Bright yang sama-sama memainkan peranan dalam mempopularkan sukan tersebut di peringkat antarabangsa. KOSMO! ONLINE














