PETALING JAYA – Seorang penjawat awam direman empat hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM7,000 daripada sebuah syarikat pembekal peralatan teknologi maklumat (ICT).
Perintah reman sehingga 10 April 2026 itu dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi miliknya sebagai balasan mengesahkan pembekalan alat ganti serta perkakasan ICT kepada cawangan tempat dia bertugas,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














