fbpx
Mahazir Mat Din (tengah) ketika bergambar bersama pengusaha dan pemandu bas pada sidang akhbar mengenai rayuan subsidi diesel untuk bas persiaran di Gombak hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Diesel naik: ‘Dulu gaji RM4,000, sekarang RM1,000 pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Kenaikan harga diesel memberi tamparan hebat kepada pemandu bas persiaran apabila ada dalam kalangan mereka mendakwa pendapatan bulanan kini merosot teruk sehingga sukar menampung keperluan keluarga.

Harga diesel yang dilaporkan meningkat kepada RM6.02 seliter sepanjang 2 hingga 8 April memberi kesan besar kepada industri bas persiaran selepas kadar sewa dinaikkan sehingga dua kali ganda.

Seorang pemandu bas, Norhaimi Amarudin, 51, berkata, sebelum ini pemandu sepertinya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 jika bekerja antara 20 hingga 23 hari sebulan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kini berubah apabila banyak tempahan perjalanan dibatalkan susulan kenaikan kadar sewa bas yang berpunca daripada peningkatan kos diesel.

“Dulu boleh dapat RM3,000 sampai RM4,000. Sekarang nak dapat RM1,000 pun kadang-kadang susah. Saya ada enam orang anak, ada yang masih bersekolah.

“Bila syarikat tak dapat ‘trip’ (tempahan perjalanan), macam mana saya nak tanggung semua perbelanjaan rumah. Isteri pula suri rumah,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Rayuan Subsidi Diesel Untuk Bas Persiaran oleh Pengusaha Bas Persiaran, di sini, hari ini.

Menurut Norhaimi, keadaan bertambah sukar apabila pelanggan, termasuk jabatan kerajaan, mula membatalkan tempahan selepas mendapati kadar sewa yang ditawarkan terlalu tinggi.

Katanya yang telah bekerja selama 30 tahun, pengusaha bas tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga bagi menampung kos operasi, namun situasi itu menyebabkan ramai pelanggan tidak lagi mampu meneruskan tempahan.

“Bila kami bagi harga, pelanggan kata terlalu tinggi. Tapi kami pun tak boleh nak tanggung sebab harga diesel sudah naik. Dulu satu bas ada dua pemandu, sekarang satu bas sampai tiga empat pemandu.

“Ada tempahan masuk, tapi bila syarikat keluarkan kadar sewa baharu, ramai yang terus batalkan. Saya sekarang terpaksa bawa van sekolah atau bas ekspres secara sambilaj untuk tampung komitmen keluarga,” ujarnya.

Tambah bapa kepada enam orang anak itu lagi, golongan pemandu bas tidak mengharapkan kehidupan mewah, sebaliknya hanya mahu pendapatan yang cukup untuk membayar komitmen bulanan dan menyediakan makan minum keluarga.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bas Bumiputera Malaysia, Mahazir Mat Din merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar kepada industri itu susulan kenaikan kos operasi yang semakin membebankan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, untuk rekod tahun lepas, sebanyak 15 peratus pelanggan bas persiaran tergolong daripada pelancong asing manakala selebihnya 85 peratus adalah warga tempatan terdiri daripada sekolah, institut pengajian tinggi dan jabatan kerajaan.

“Bila ada sekolah, atau jabatan dah tempah awal sebelum pengumuman harga diesel ni, kita tak boleh ubah LO (Pesanan Tempatan) sebab harga dah kekal tu. Jadi bas terpaksa jalan, dan akhirnya rugi sebab tak dapat tanggung kerugian.

“Bas bergerak pun rugi, bas tak bergerak pun lagi rugi. Sebab walaupun tidak beroperasi, kami masih perlu bayar komitmen bulanan termasuk moratorium, faedah pinjaman dan kos penyelenggaraan,” ujarnya.

Justeru, beliau merayu agar memberikan subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebanyak 6,000 liter untuk bas persiaran manakala 4,000 liter lagi untuk van persiaran pada harga RM2.15 seliter.

“Tanpa sokongan segera seperti subsidi diesel dan kelonggaran kewangan, ramai pengusaha berisiko gulung tikar dalam tempoh terdekat.

“Kami merayu agar kerajaan mempertimbangkan bantuan ini secara serius kerana industri ini memainkan peranan penting sebagai tulang belakang pengangkutan pelancong, sekali gus memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN