PETALING JAYA – Bagaikan memberi bayangan enggan kelompok peminat bertelagah sesama sendiri, aktres Nur Fazura menasihatkan orang ramai agar berhati-hati melemparkan sebarang komen dalam media sosial.
Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, berkata, perkara tersebut perlu dipraktikkan agar tidak melukakan hati mana-mana pihak lain.
“Kita semua berhak mempunyai pendapat masing-masing dan saya menerimanya dengan penuh rasa sayang.
“Namun, saya harap kita lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata kerana semua itu mencerminkan niat sebenar, lebih-lebih lagi apabila saya sudah melihatnya sendiri sebelum ini,” katanya dalam platform Threads hari ini.
Tambahnya, setiap individu bebas untuk memberi sokongan kepada mana-mana pihak, namun tetap perlu berpada-pada.
“Tidak salah untuk menyokong, mengambil berat dan melindungi tetapi sekiranya kata-kata dikongsi menyakiti orang lain dan berdasarkan andaian sendiri, memang boleh memberi ketidakselesaan akhirnya memusnahkan persahabatan.
“Jadi, berbuat baiklah baik kepada semua,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun tidak memperincikan perkongsian tersebut kepada mana-mana pihak.
Hantaran tersebut meraih banyak komen yang rata-ratanya menyokong agar terus membuat baik dan menjaga kata-kata dalam memberi sebarang pendapat. – KOSMO! ONLINE














