KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyangkal menerima jemputan menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah anjuran Pas yang berakhir kelmarin di Kuala Nerus .
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, UMNO Pusat juga tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri program tersebut bertentangan dakwaan Pengerusi Perikanan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Hasil semakan dengan Setiausaha Kerja UMNO (Datuk Mohd. Sumali Reduan) mendapati tiada sebarang jemputan (Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah) diterima.
“UMNO sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadiri program anjuran mana-mana parti lain sekiranya menerima jemputan rasmi,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu UMNO tidak menghantar wakil dalam program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah biarpun Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu semua parti politik berteras Melayu Islam telah dijemput.
Difahamkan jemputan rasmi hanya dibuat terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang pemidato pada majlis penutup program tersebut kelmarin.
Nik Dir berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka dan lazimnya memenuhi jemputan daripada parti-parti politik lain, tertakluk kepada kesesuaian program serta kelapangan masa. – KOSMO! ONLINE














