KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti mekanisme terbaik bagi mempercepatkan pembayaran balik modal membeli bekalan diesel yang dikeluarkan oleh pengusaha stesen minyak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pengusaha stesen minyak yang perlu mengeluarkan modal besar untuk membeli bekalan diesel daripada syarikat minyak semasa krisis bahan api yang melanda peringkat global ketika ini.
Menurutnya, setakat ini, mekanisme pembayaran dijalanlan secara susunan komersial iaitu antara pengusaha stesen minyak dan syarikat minyak.
“Sehubungan itu, KPDN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk untuk meneliti pendekatan terbaik agar pengusaha stesen minyak dapat menerima pembayaran balik modal pada kadar segera.
“Kerajaan dan syarikat minyak ketika ini mempunyai pelan kontigensi semasa menghadapi krisis. Jadi, kita harap pengusaha stesen minyak juga dapat membuat pelan sama untuk memastikan kelangsungan semua pihak semasa krisis,” katanya sidang akhbar semasa hadir ke Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barang Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, pengusaha stesen minyak ketika ini mendakwa terpaksa menjadi seperti ‘pembiaya tidak rasmi’ kepada agihan subsidi bersasar diesel akibat mekanisme pembayaran modal tunai yang terpaksa mereka tanggung untuk membeli bekalan bahan bakar itu.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dilaporkan berkata, situasi itu tidak adil kepada mereka, di mana realitinya pengusaha secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.
DPMM berkata, pihaknya menerima aduan dan keluhan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera mengenai kesan kenaikan harga minyak diesel terhadap bebanan kewangan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh mereka. – KOSMO! ONLINE














