fbpx
Anthony (dua kanan) meninjau kemajuan stesen RTS bagi fasa ujian dan pentaulihan ketika melawat Stesen RTS Bukit Cagar, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

KTMB Shuttle Tebrau bakal ‘bersara’ lepas 6 bulan RTS Link beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau dijangka ditamatkan enam bulan selepas operasi RTS Link bermula, selaras dengan perjanjian dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun Malaysia berharap perkhidmatan tren ulang-alik itu dapat diteruskan buat sementara waktu, keputusan akhir masih tertakluk kepada persetujuan Singapura.

“Berdasarkan perjanjian sedia ada, operasi Shuttle Tebrau perlu dihentikan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi sepenuhnya.

“Ini adalah sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua negara. Kita akui keperluan itu, walaupun Malaysia berharap ada ruang untuk perkhidmatan ini diteruskan sementara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan semasa projek RTS Link semasa melakukan lawatan kerja di Stesen RTS Link Bukit Chagar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan RTS Link dibangunkan sebagai sistem pengangkutan utama baharu merentasi sempadan bagi menggantikan peranan Shuttle Tebrau dalam jangka panjang.

Katanya, sistem rel moden itu mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah selain menawarkan tempoh perjalanan hanya kira-kira lima minit antara Johor Bahru dan Woodlands.

“RTS ini direka sebagai penyelesaian jangka panjang untuk kesesakan di Tambak Johor dan akan menjadi mod pengangkutan utama antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kadar tambang RTS Link masih belum dimuktamadkan, namun dijangka berada pada kadar kompetitif dan berasaskan prinsip komersial.

Beliau berkata, penetapan harga tersebut mengambil kira faktor kemampanan operasi memandangkan RTS Link merupakan sistem pengangkutan antarabangsa yang tidak bergantung kepada subsidi kerajaan.

“Tambang ini ditentukan oleh syarikat operasi bersama Malaysia-Singapura dan perlu memastikan operasi kekal mampan dari segi kewangan,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan pas perjalanan (season pass) khusus untuk rakyat tempatan bagi mengurangkan beban kos pengguna harian.

Tambah beliau, struktur tambang muktamad dijangka diumumkan pada separuh kedua tahun ini selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa kedua-dua negara.

KTMB Shuttle Tebrau adalah satu daripada mod pengangkutan yang membawa penumpang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura yang mula beroperasi pada 1 Julai 2015.

Tempoh perjalanan perkhidmatan berkenaan mengambil masa sekitar lima minit dengan harga tiket sehala RM5 dari Johor Bahru-Singapura dan SGD5 (RM17.80) dari Singapura-Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN