PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru agar konflik yang berlaku di Asia Barat segera dihentikan dengan menyifatkan rundingan secara aman merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan peperangan itu.
Kata beliau, peperangan merupakan satu pembunuhan besar-besaran dan perkara itu tidak boleh diterima sebagai salah satu penyelesaian kepada konflik yang tercetus.
“Saya sentiasa menentang perang. Saya tidak boleh menerima pembunuhan manusia sebagai penyelesaian kepada apa-apa masalah. Namun, perang adalah tentang membunuh manusia, pembunuhan secara besar-besaran.
“Bagaimana manusia masih boleh menerima perang sebagai penyelesaian kepada konflik antara negara adalah sesuatu yang tidak dapat difikirkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Susulan itu, Dr. Mahathir berkata, kuasa besar yang terlibat perlu memikirkan jalan penyelesaian terbaik yang kurang membawa maut dan kerosakan.
“Tidak dapat difikirkan apabila terdapat cara lain untuk menyelesaikan masalah tersebut? Cara-cara lain yang kurang membawa maut dan kurang merosakkan. Kosnya juga jauh lebih rendah.
“Apakah cara-cara lain itu? Manusia dikurniakan keupayaan untuk berfikir. Cara-cara lain ini melibatkan rundingan, timbang tara atau mahkamah. Dengan keupayaan berfikir, manusia boleh menilai kebaikan dan keburukan sesuatu penyelesaian,” katanya.
Sebelum ini, konflik Asia Barat yang memuncak sejak Februari 2026, terutamanya melibatkan ketegangan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat dijangka berlarutan dan memberi kesan ekonomi global serta serantau.
Ia termasuk potensi gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE














