fbpx
TIADA rezeki, Ryan reda dengan keguguran kehamilan kedua yang dialami isterinya, Ahad lalu.

‘Keguguran, sedih tapi isteri pasti lebih terluka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keindahan gembiraan Syawal sedikit pudar buat pelakon dan pempengaruh media sosial, Ryan Bakery yang berkongsi khabar duka isterinya, Elyia Ibrahim, mengalami keguguran cahaya mata kedua mereka, Ahad lalu

Ujar Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 31, berita kehamilan diterima pada 1 Syawal menjadi detik paling membahagiakan, namun tidak menyangka sinar itu singgah seketika sebelum diragut takdir.

“Mungkin isteri saya terlalu penat. Berita gembira kami terima pada 1 Syawal, tetapi ketika pulang ke kampung di Pahang, dia tergerak hati ke klinik untuk membuat pemeriksaan.

“Setibanya di klinik, berlaku pendarahan. Doktor buat imbasan tetapi kandungan tidak dapat dikesan sebelum kami dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Di situlah kami dimaklumkan dia keguguran,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon filem Zim Zim Ala Kazim itu, kehilangan tersebut memberi kesan mendalam, namun dia memilih untuk kekal kuat demi isterinya.

“Saya memang sedih, tetapi sebagai lelaki kita mungkin tidak mampu merasai sepenuhnya apa dilalui wanita.

“Tak adil untuk cakap ‘sudahlah’, sebab kandungan itu berada dalam tubuh dia. Bila dia sakit atau emosi, saya kena lebih kuat. Saya sedih, tetapi dia pasti lebih terluka,” ujarnya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri FYP anjuran Indigitals di sini, semalam.

Cerita Ryan, isterinya juga pernah menangis mengenangkan persiapan awal dilakukan termasuk membeli keperluan bayi sebaik mengetahui berita kehamilan.

Bagaimanapun, dia bersyukur keadaan Elyia kini semakin pulih dan kembali ceria, terutama apabila dikelilingi keluarga.

“Di kampung pun, kadang-kadang dia menangis sebab sudah buat persiapan seperti beli susu dan sebagainya. Itu antara momen paling berat untuk kami.

“Dia minta untuk tinggal lebih lama di kampung kerana bila ramai orang, dia lebih terhibur. Kalau bersendirian, dia mudah sedih.

“Baru-baru ini dia sempat bergurau, walaupun tiada rezeki anak kedua, hadiah untuk ibu mengandung tetap kena ada. Saya anggap itu petanda dia semakin kuat,” tuturnya.

Terdahulu, Ryan dan Elyia mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ryan Ezra. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN