PETALING JAYA – Pengguna jalan raya yang melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) pagi ini terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas luar biasa sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Keadaan ini berlaku susulan kerja-kerja pembaikan yang dijadualkan siap pada awal pagi tadi, didapati masih berlarutan sehingga waktu puncak sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dari arah Ampang menuju ke Gombak.
Menurut perkongsian pengguna di media sosial, kerja-kerja penyelenggaraan jalan atau ‘mill and pave’ di lorong kanan lebuh raya tersebut menjadi punca utama kenderaan hampir tidak bergerak awal pagi tadi.
Seorang pengguna di Threads, Cxxkiemonsta52, dia meluahkan rasa berang terhadap pengurusan pihak kontraktor yang dianggap tidak peka dengan waktu orang ramai keluar waktu bekerja.
“Ngantuk ni, jem pula. MRR2 hala gombak, masa ini lah dia nak tar jalan. Tiga-tiga lorong pula tu,” katanya.
“Serius lah pembinaan masih berjalan pada jam sebegini dekat MRR2. Langsung tak bergerak, sepatutnya kerja siap pukul 5.30 pagi,” kata pengguna Aafafff.
“MRR2 hari ini jem macam puaka. Tolong cari alternatif lain kalau nak menghala ke Tol Gombak,” kata pengguna Izizainal89.
Notis penutupan jalan yang diberikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, kerja-kerja di kawasan itu sepatutnya hanya bermula dari pukul 10 malam hingga 5 pagi sahaja.
Bagaimanapun, kegagalan kontraktor mengosongkan laluan mengikut jadual telah menyebabkan kesesakan hingga ke susur Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan kawasan berhampiran KL East Mall. – KOSMO! ONLINE














