fbpx
Antara barangan e-waste yang ditemui dalam kawasan kilang di Ijok, Kuala Selangor.

Kilang e-waste haram di Ijok diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Kegiatan sebuah kilang kitar semula barangan elektronik (e-waste) beroperasi secara haram terbongkar selepas diserbu dalam operasi bersepadu di Jalan Harmoni 1, Simpang 3 Ijok, Bestari Jaya di sini, semalam.

Operasi bermula kira-kira pukul 9 pagi hingga 2 petang itu dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama beberapa agensi bagi mengekang aktiviti perindustrian haram yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, siasatan mendapati kilang berkenaan telah beroperasi tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa sejak sebulan lalu.

Katanya, MPKS mengeluarkan dua kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan tidak menjaga kebersihan premis.

“Turut dikeluarkan dua notis iaitu notis menghapuskan kacau ganggu dan notis memberhentikan perniagaan selain tindakan penutupan premis yang telah dilaksanakan.

“Pelbagai peralatan telah disita termasuk penimbang, pemampat udara, forklift, kipas ekzos, troli, mesin pemotong, peralatan kimpalan serta sejumlah besar kipas industri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seramai 50 anggota telah terlibat dalam operasi ini yang melibatkan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) , Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Syarikat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor.

Mohamad Lutfi berkata, siasatan lanjut dan semakan terperinci akan dijalankan bagi memastikan segala arahan pematuhan serta syarat kelulusan berkaitan permit dan pelan bangunan dipatuhi.

“Sepanjang operasi, SPAN dan Air Selangor turut membuat semakan pemilikan meter air serta melaksanakan tindakan rampasan meter.

“TNB pula akan mengambil tindakan susulan termasuk pengeluaran notis pemotongan bekalan elektrik selepas menerima permohonan daripada MPKS,” katanya.

Tambah beliau, lima sampel bahan e-waste turut diambil JAS untuk analisis lanjut selain tindakan penahanan operasi serta pemeriksaan ke atas enam bahagian stok e-waste di premis berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN