PETALING JAYA – Kenaikan harga diesel kepada RM6.02 seliter bermula semalam memberi tekanan kepada pemilik pikap, khususnya dalam kalangan peniaga kecil yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api itu untuk operasi harian.
Tinjauan mendapati ramai pemilik pikap mengambil langkah berjimat dengan beralih kepada kenderaan menggunakan RON95 termasuk motosikal bagi urusan harian seperti bekerja dan menghantar anak ke sekolah.
Pikap yang sebelum ini menjadi nadi pengangkutan hanya di parkir rumah berikutan tidak tahan dengan kos operasi yang semakin meningkat.
Seorang guru, Mohammad Zakwan Marso, 33, berkata, kenaikan harga diesel memaksanya mengehadkan penggunaan pikap jenis Ford Ranger XLT Plus untuk urusan harian kerana kosnya tinggi sehingga menjejaskan perbelanjaan bulanan.
“Sejak harga diesel naik, setiap bulan saya perlu menyediakan belanja sekitar RM1,800 ke RM2,000. Kini saya guna kereta, lebih jimat minyak. Jika keadaan berterusan, mungkin guna motosikal ke tempat kerja kerana kos lebih rendah.
“Namun, belum terlintas menjual pikap kerana masih diperlukan untuk kerja-kerja kebun,” katanya yang memberitahu dia membelanjakan sekitar RM500 ke RM600 sebulan sebelum kenaikan harga diesel.
Bagi peniaga dikenali Muhammad, sejak kenaikan harga mendadak dua minggu lalu, dia memilih untuk menunggang motosikal bagi menyelesaikan urusan bisnes dan peribadi.
Katanya, sebelum ini dia perlu mengeluarkan belanja kira-kira RM160 untuk mengisi penuh kenderaan jenis Mitsubishi Triton namun kini dia perlu berbelanja lebih RM400.
“Sejak dua minggu lalu, Triton saya simpan saja di parkir, terfikir untuk menjualnya tetapi rugi sebab harga pasti turun jauh dari pasaran,” ujarnya.

Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan konflik perang Asia Barat. Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya iaitu RM5.52 seliter.
Di Kulim, seorang peniaga motosikal terpakai, Asyraf Zawi, 35, berkata, kenaikan harga diesel itu memberi kesan besar terhadap kos sara hidup dan operasi perniagaannya.
Menurutnya, pada masa ini dia terpaksa ‘merehatkan’ penggunaan pikap dan hanya menggunakannya untuk urusan penting, manakala aktiviti harian lain menggunakan kenderaan petrol yang masih menerima subsidi.
“Kalau untuk kegunaan biasa, masih boleh guna kereta tetapi bagi perniagaan yang memang perlukan kenderaan diesel, kenaikan ini memang sangat membebankan,” katanya semalam.
Tambahnya, situasi tersebut memaksa peniaga sepertinya mempertimbangkan beberapa alternatif termasuk menjual kenderaan pikap, menukar kepada kenderaan lebih jimat minyak atau membeli motosikal untuk kegunaan harian.
“Kalau harga diesel terus naik dan kekal lama, mungkin saya terpaksa jual pikap tetapi itu pun bukan mudah sebab kenderaan itu penting untuk penghantaran barang.
“Kalau nak teruskan perniagaan, terpaksalah keluarkan simpanan untuk beli kenderaan lain yang lebih jimat,” ujarnya.
Sementara itu bagi Siti Noradawiyah Ismail, 34, perniagaan pendingin hawa suaminya turut terkesan kerana menggunakan Isuzu Dmax.
“Kenaikan kos disebabkan diesel memang terasa kerana kenderaan itu digunakan untuk bisnes aircond. Bila harga diesel naik, kos kerja turut meningkat. Jika berterusan, ramai mungkin akan kurangkan penggunaan atau hanya ‘parking’ kenderaan di rumah.
“Kerajaan perlu mengambil langkah bagi mengawal keadaan supaya tidak terus membebankan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Amzar Amir Ramadan, 34, yang menggunakan Mitsubishi Triton sejak sembilan tahun lalu bagi bisnes makanan berharap kerajaan mengkaji semula kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel persendirian supaya tidak terus membebankan rakyat.
“Saya terpaksa guna setiap hari meskipun harga diesel dah meningkat kepada RM500 RM550 sebulan. Cadangan beli kenderaan berasaskan petrol bukan penyelesaian terbaik kerana hanya menambah komitmen bulanan.
“Buat masa ini, saya hanya mampu berdamai dengan kenaikan harga diesel dan perlu berusaha lebih supaya ia tidak menjejaskan sumber rezeki,” katanya.














