PUTRAJAYA-Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki enggan mengulas mengenai perkara berkaitan lanjutan kontraknya yang dijangka tamat pada bulan depan.
Menurut Azam, beliau tidak akan menjawab sebarang soalan berhubung isu tersebut.
“Tiada komen. Saya sudah katakan bahawa saya tidak akan menjawab mengenai perkara itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas ditemui pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di sini tadi.
Sebelum ini, sebuah agensi berita di Singapura mendakwa kontrak Azam tidak akan dilanjutkan.
Kata laporan itu, kerajaan kini berhadapan tekanan besar berhubung siasatan pemilikan saham oleh Azam.
Terdahulu, media antarabangsa, Bloomberg menerusi laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun pegangan saham miliknya yang bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur. – KOSMO! ONLINE














