PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi selain badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuan pelaksanaan dasar itu bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta
memastikan kemampanan bekalan tenaga.
Katanya, perincian lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan kelak.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat.
“Berapa jumlah belanja untuk menyerap impak minyak yang meningkat ini? RM4bilion satu bulan.
“Jadi, ini bukan perkara kecil orang-orang yang menyinggung hal ini harus tahu bahawa kerajaan membantu rakyat tambahan RM4 bilion ringgit, ini untuk menahan,” katanya pada taklimat ringkas hari ini.
Tambah Anwar, kerajaan turut mengalukan cadangan daripada rakyat Malaysia bagi membantu negara berdepan situasi berkenaan.
“Tetapi tentu keupayaan itu terbatas dan lihatlah pengalaman negara-negara lain.
“Jadi, kalau ada cadangan lain baik dari kalangan peniaga, nelayan pekerja sila kemukakan.
“Majlis Tindakan Ekonomi, jawatankuasa berkenaan jemaah menteri itu setiap hari ada perjumpaan dan kita memanggil wakil-wakil.
“Ia termasuk saya sendiri akan memanggil, baik kontraktor kecil ataupun wakil nelayan, petani untuk mendengar keluhan mereka dan cuba menampung dan membantu sekadar yang kita mampu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














