TRIP kali ini, saya bertiga bersama adik dan seorang rakan yang masih baharu dalam dunia mengilat. Kami memilih untuk membawa bot sendiri agar lebih fleksibel dalam menentukan lokasi dan pergerakan sepanjang hari.
Sasaran kami jelas sejak awal, fokus kepada sight casting untuk toman bujang dan masuk ke kawasan suak yang terlindung sekiranya keadaan angin menjadi kuat.
Kami menggunakan set-up yang praktikal dengan joran kategori medium heavy menjadi pilihan utama kerana ia cukup kuat untuk menahan asakan toman, tetapi masih mempunyai sensitiviti baik untuk memainkan gewang.
Padanan tali utama 40lb bersama perambut 40lb pula menambahkan keyakinan terutamanya apabila berhadapan dengan struktur di dalam air.
Pilihan gewang juga tidak terhad kepada satu jenis, pencil, buzzbait, crankbait dan spinner, semuanya dibawa sebagai persediaan.
Namun seperti kebiasaan, ikan yang akan menentukan pilihan sebenar di lapangan.
Sepanjang trip ini, toman bujang jelas lebih cenderung kepada gewang topwater yang sederhana dengan bunyi ‘knock-knock-knock’ ketika dimainkan, manakala pendekatan berbeza diperlukan apabila berdepan dengan mama toman.

Bermula
Seawal pagi, kami sudah memulakan sesi mengilat. Kabus nipis menyelimuti tasik dan air yang hampir tidak beralun menjadikan ia waktu terbaik untuk sight casting.
Kami bermula di kawasan terbuka sebelum menghampiri struktur yang berpotensi.
Tidak lama kemudian, kelihatan kehadiran toman bujang yang sedang aktif. Saya menggunakan gewang pencil dan memainkan aksi walk-the-dog secara perlahan bagi menghasilkan bunyi ‘knock-knock-knock’ yang konsisten.
Dalam beberapa karauan saja, satu ‘letupan’ kuat berlaku dan seekor toman bujang dinaikkan.
Tidak lama kemudian, strike kedua menyusul dengan corak permainan yang hampir sama.
Jelas sekali toman bujang pada waktu pagi lebih responsif terhadap gewang permukaan yang dimainkan secara perlahan.
Menjelang tengah hari, keadaan mula berubah apabila angin menjadi semakin kuat.
Permukaan air di kawasan terbuka menjadi beralun hingga menyukarkan proses sight casting.
Tanpa membuang masa, kami menukar pendekatan dengan memasuki kawasan suak yang terlindung daripada angin.
Di dalam suak, keadaan air lenang menjadikan tinjauan pergerakan ikan toman menjadi semakin jelas.
Ketika menyusuri satu kawasan yang agak dalam, kami ternampak satu kumpulan anak-anak toman di permukaan air.
Melihat kepada situasi tersebut, kami segera membuat keputusan untuk menukar gewang.

Berbeza dengan toman bujang yang agresif di permukaan air, mama toman menjaga anak lazimnya lebih sensitif dan cenderung menyerang ancaman memasuki ruang ‘selamatnya’.
Sebab itu, kami memilih untuk menggunakan gewang crankbait supaya ia dapat mencapai perimeter lebih dalam yang berhampiran dengan kawasan mama toman tersebut berada.
Balingan dibuat berhampiran anak-anaknya dan gewang dikarau dengan stabil, sekali gus membolehkan gewang menyelam dan melalui zon serangan mama toman.
Tidak lama kemudian, satu hentakan kuat dirasai pada hujung joran. Tekanan yang dirasa jelas menunjukkan sambaran yang cukup padu.
Joran terus melentur dan tali keluar laju, menandakan ikan bersaiz besar sedang melawan.
Mama toman itu beberapa kali cuba meloloskan diri ke arah struktur, namun ia masih dapat dikawal dengan baik dan akhirnya berjaya didaratkan.
Lebih menarik, ikan tersebut dinaikkan oleh rakan saya yang masih baharu dalam dunia hanyir ini. Keberaniannya untuk bertindak dan mengikut keputusan yang dibuat bersama ternyata membuahkan hasil.
Selepas waktu tengah hari, kami meneruskan sesi mengilat dengan mengekalkan strategi yang sama. Kami hanya berlegar-legar di kawasan yang terlindung angin.
Menjelang petang, aktiviti toman naik ‘bermain’ air kembali meningkat. Dalam keadaan ini, kami kembali menggunakan gewang topwater, selari dengan respons ikan yang kami perhatikan sejak pagi.
Beberapa lontaran selanjutnya berjaya menghasilkan strike. Sepanjang petang tersebut, kami berjaya menambah tiga ekor lagi toman bujang.
Kesimpulan
Secara ringkasnya, trip ini memperlihatkan satu pola yang jelas, toman bujang lebih agresif terhadap gewang permukaan, manakala mama toman lebih cenderung menyerang gewang selaman dalam.
Dari segi hasil, trip ini memberikan susunan yang cukup lengkap, dua ekor bujang pada waktu pagi, seekor mama pada tengah hari dan tiga lagi bujang pada sebelah petang.
Namun lebih daripada itu, trip ini turut menekankan kepentingan membaca situasi dan membuat keputusan yang tepat berdasarkan keadaan semasa.
Pertukaran daripada gewang permukaan topwater kepada gewang selaman dalam bukanlah satu kebetulan, tetapi satu respons terhadap apa yang ditunjukkan oleh persekitaran.
Dalam dunia mengilat, kejayaan trip berdasarkan keupayaan untuk meninjau aktiviti ikan, mengutamakan pilihan gewang yang terbaik dan bertindak pada waktu tepat.
Empangan Kelau sekali lagi membuktikan bahawa ia merupakan ‘padang’ permainan toman yang lengkap, mudah diakses, kaya dengan struktur dan menawarkan peluang kepada pemancing untuk mengikut pendekatan mereka.















